Jumaat, 28 Ogos 2015

Perpaduan Nasional di Malaysia

Salam perkenalan buat semua. Kami pelajar dari POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH mendapat tugasan yang bertajuk PERPADUAN NASIONAL.


Perpaduan nasional ialah perpaduan negara yang harus rakyat amalkan. Ini kerana perpaduan dapat menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa. Jika kita tidak mengamalkan perpaduan, negara kita akan sentiasa berlaku rusuhan, peperangan dan lain-lain lagi. Negara kita akan menjadi seperti negara luar yang sentiasa berperang sesama sendiri. Kerajaan juga mempunyai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk perpaduan pelbagai kaum di Malaysia. Negara kita mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Contohnya melayu-islam, cina-bubdha, india-hindu dan lain-lain lagi.Perdana menteri sentiasa menyeru kita supaya sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian kita. Pada zaman sekarang sudah banyak demokrasi yang berlaku dalam negara kita. contoh seperti demokrasi bersih dan lain-lain lagi. Ada juga berlaku rusuhan bila tiba hari perlawanan bola sepak diantara negeri. Penyokong dari negeri yang kalah akan melakukan rusuhan, banyak kerosakan yang berlaku pada harta benda dan juga kecederaan pada orang awam. Dengan itu, kita haruslah bersatu padu dan perlulah menanam sifat perpaduan untuk mengekalkan kehidupan yang aman dan damai yang dikecapi sekarang.



Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional .
Dari segi definasi Integrasi adalah satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama. Bagi Negara yang berbilang bangsa, proses ini merupakan satu matlamat utama yang diusahakan agar berjaya. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dalam tempoh yang lama dengan rakyat berbilang bangsa dan kepercayaan adalah satu contoh terbaik kejayaan proses integrasi.
Manakala perpaduan pula adalah proses menyatukan pelbagai bangsa dalam sesebuah Negara supaya mempunyai hasrat dan cita-cita yang sama tentang
                                                                               negaranya.
Perpaduan rakyat Malaysia adalah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam proses pembangunan Negara. Selain daripada aspek ekonomi,politik,perpaduan juga merupakan agenda penting dalam kemajuan sesebuah Negara. Relatifnya, ekonomi dan politik yang stabil akan memberi sumbangan yang besar dalam proses perpaduan.
Di Malaysia, kerajaan telah melaksanakan berbagai-bagai usaha untuk mencapai matlamat perpaduan. Antaranya,
1.      Pembentukan sosioekonomi yang membolehkan semua kaum dan etnik turut serta dalam proses pembangunan Negara.
2.      Penyusunan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru iaitu dengan memberi fokus kepada membasmi kemiskinan berasaskan kaum.
3.      Penglibatan golongan miskin dalam pelbagai corak pembangunan ekonomi dengan menubuhkan beberapa agensi yang berkaitan seperti MARA, FELDA, UDA dan sebagainya.
4.      Sistem pendidikan digunakan sebagai medium utama pembentukan perpaduan dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia di semua peringkat pengajian dari pendidikan rendah, menengah rendah, menengah atas dan pengajian tinggi.
Selepas tragedi 13 Mei 1969, pihak pemerintah telah mula memberi perhatian yang serius terhadap proses perpaduan dan integrasi nasional. Proses ini boleh dilihat dari tiga aspek iaitu, aspek sosial, politik dan ekonomi.

Dari aspek sosial, pemerintah melancarkan satu prinsip utama Negara iaitu Rukun Negara(RN). Rukun Negara dilancarkan pada Ogos 1971 yang bertujuan memupuk muafakat di kalangan masyarakat etnik. Rukun Negara ini menetapkan lima perkara utama yang terkandung dalam prinsip tersebut .

Aspek ekonomi pula pihak pemerintah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru(DEB) yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan menstrukturkan kembali masyarakat. Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada 1971, yang merupakan dasar jangka panjang(20tahun) kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kedua. Dasar ini memberi tumpuan khusus kepada masalah kemiskinan yang difikirkan sebagai faktor utama yang menghalang proses perpaduan kaum. Melalui dasar ini beberapa program, dasar dan agensi telah diperkenalkan oleh pemerintah. Antaranya, menubuhkan IPT seperti UKM, UTM, ITM dan UPM. Penubuhan IPT bagi mewujudkan kedudukan yang seimbang antara kaum di IPT.

Dari segi politik, pemerintah telah meminda beberapa akta. Antaranya pindaan terhadap Akta Hasutan. Pindaan akta ini bagi menghalang orang awam dari membincangkan perkara yang sensitif berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan raja-raja Melayu. Larangan ini bagi mencegah berlakunya pertentangan pendapat secara umum yang boleh memudaratkan perpaduan kaum. 
   
                                    Antara inisentif mewujudkan perpaduan kaum





                                    Slogan 1Malaysia membantu mengeratkan perpaduan


Ia jelas menunjukkan bahawa 1Malaysia bertujuan membina nilai kesepaduan, keharmonian, integrasi dan perpaduan yang berakarkan kepada prinsip ‘Satu Negara, Satu Matlamat’, selain menjunjung tiga teras iaitu prinsip penerimaan; kenegaraan dan keadilan sosial sebagai pelengkap kepada Wawasan 2020 dan gagasan lain yang pernah dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Selain itu, ia adalah ‘penjana’ untuk memastikan kestabilan tidak terganggu akibat kesempitan politik yang diwarnai dengan manipulasi, emosi, helah, pembohongan, provokasi dan spekulasi.

Apabila ada pihak mahu ‘gam’ di negeri pentadbiran mereka penggunaan simbol ini, maka ia dilihat politiking keterlaluan kerana mencari isu remeh untuk terus bersaing dalam fahaman politik masing-masing. Dengan menghukum penggunaan simbolnya, ia dianggap sebagai ‘dasar isolasi kuasa’ yang boleh memberi kesan ke atas keharmonian. Adakah sudah ketandusan isu sehingga 1Malaysia dijadikan sebagai satu ‘bahan politik’ tanpa menyedari bagaimana ia boleh menjerat mereka kerana seolah-olah menunjukkan ketidakupayaan mentadbir apatah lagi mengikut analisis dan kajian persepsi yang dilakukan. Salah satu elemen yang menyumbang kepada lonjakan keyakinan ke atas populariti Najib adalah gagasan 1Malaysia yang memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada nilai kemasyarakatan demografi dan geografi tanah air.

Ia mahu memperkukuhkan kemuafakatan yang memerlukan rasa tanggungjawab dan kejujuran dalam menyuburkan nilai menerima, hormat menghormati dan saling faham-memahami, menanam nilai kemanusiaan untuk bersama, serta nilai ‘kepunyaan’. Adakah pemahaman yang sudah jauh meningkat menyebabkan ada pihak gusar ia akan memberi kesan dalam memobilisasi sokongan bersifat populis mereka? Ini kerana 1Malaysia percaya kepada tanggungjawab setiap individu yang bernama warga Malaysia. Untuk mempertahankan kedaulatan negara ini berpaksikan kepada nilai patriotisme dan nasionalisme serta memagari diri setiap individu daripada sifat syak wasangka serta mencurigai antara satu sama lain agar dapat mengurangkan darjah sikap berpura-pura dalam kalangan masyarakat jika ia dianggap penting untuk meningkatkan nilai kemasyarakatan.

Ia muncul ketika terhakis perasaan kekitaan ke atas tanah air dan praktis 1Malaysia bertujuan membina kekuatan bersama dalam berhadapan dengan apa sahaja krisis kenegaraan walaupun berbeza agama, keturunan, kepercayaan, gender dan ideologi politik sekalipun.
Yang membezakan 1Malaysia dengan apa sahaja agenda politik parti pemerintah adalah ia menanam perasaan ‘keyakinan’, ‘kepercayaan’ dan ‘kejujuran’ bahawa setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas negara kerana mereka bergelar warga Malaysia. Jelmaan nilai ‘keselamatan menyeluruh’ dengan memartabatkan 1 Malaysia sebagai wadah jati diri, masing-masing menunjukkan rasa bangga kepada negara yang dihuni dan pasti akan berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
Barangkali, ada pihak khuatir dengan pengukuhan penerimaan dan penerapan nilai 1Malaysia kerana ia akan mempercepatkan proses memperkasakan perubahan. Ini kerana dalam Majlis Muhibah Perdana Menteri bersama Pemimpin Agama pada September 2010, Najib ada menyatakan bahawa tidak akan berlaku sebarang transformasi tanpa ada perpaduan dan keharmonian nasional. Kerajaan telah merangka beberapa pelan transformasi antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Yang penting bukan untuk melihat perbezaan tetapi merungkai perinciannya sebagai kekuatan dan tidak sebagai penghalang untuk menjana rasa tanggungjawab bersama kerana kejayaan membina negara-bangsa pelbagai etnik negara ini masih berkiblatkan kepada persamaan nilai kemanusiaan dan meraikan kepelbagaian tersebut. Hubungan emosi antara kesemua warga Malaysia wajar disuntik ke arah mencari titik keseimbangan kepada ‘masa depan yang sama’ kerana kejayaan 1Malaysia bergantung kepada kekuatan setiap individu dalam negara ini yang mahu melihat negara ini terus makmur, maju dan rukun termasuk pemimpin dari mana-mana kelompok menggembleng keazaman bersama melahirkan generasi yang mahu mencerna prinsip keamanan, kesejahteraan dan muhibah.

                          
                             
                                Aktiviti yang menerapkan slogan 1Malaysia


 

















Antara sebab perpaduan di Malaysia masih belum dapat diwujudkan



Faktor-Faktor Berlakunya Ketidakharmonian Hubungan Antara Kaum
  Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kenyataan di atas. Pertama sekali merupakan faktor sistem pendidikan yang berasingan.
Rakyat Malaysia terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda yang berbeza dan sistem persekolahan yang tersendiri. Ini sekaligus memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Misalnya, sekolah aliran kebangsaan akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Justeru, majoriti kaum Melayu yang akan menuntut di sekolah Melayu. Situasi ini menyebabkan interaksi para pelajar yang berbeza kaum dengan kaum yang berlainan sangat-sangat terhad.
Persefahaman antara satu sama lain juga tidak disampaikan dengan sepenuhnya. Tambahan pula, sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu pada abad ke-19, selain bertujuan untuk mencari kekayaan, orang Cina tidak lupa akan tanggungjawab sosial mereka iaitu mendidik kanak-kanak Cina agar mereka mewarisi bahasa dan budaya etnik Cina.

Justeru, penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi satu agenda penting kepada mereka (Tan Yao Sua, 2005:65). Selain daripada itu, ibu bapa yang tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan tetapi menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan yang merasakan struktur pendidikan tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka juga menjauhi hubungan antara etnik.
Faktor yang kedua ialah keadaan politik di negara kita. Isu-isu mengenai bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering kali dijadikan isu oleh orang politik bagi tujuan tertentu. Teknik-teknik yang digunakan oleh orang politik berkenaan isu sensitif tersebut akan memberikan impak yang negatif kepada rakyat.

Setiap kaum akan cuba mempertahankan hak mereka bagi mendapatkan satu keadaan yang sama rata. Sebagai contoh, parti-parti politik tertentu cuba mengambil peluang untuk menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat dan seterusnya menyebarkan propaganda berkenaan isu perkauman.

Di samping itu, perbezaan nilai antara etnik juga mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah rumit. Setiap kaum mempunyai budaya, kepercayaan dan bahasa yang berlainan. Justeru, setiap kaum akan mengamalkan ciri-ciri yang kemudiannya menjadi identiti diri mereka. Persoalannya apabila identiti mereka dipersoalkan, kesejahteraan dan keamanan negara akan terancam.

Oleh itu, setiap etnik cuba mengambil keputusan bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya jurang hubungan antara kaum semakin membesar.

Anggota etnik akan memilih etnik yang sama dengan mereka sebagai kawan mahupun rakan sekerja. Mereka mendapati sukar untuk mengadaptasikan diri dan menerima budaya etnik yang lain dan menganggapnya tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka dalam kehidupan seharian.
Sebagai contohnya, sesetengah pensyarah di IPTA terpaksa mengagihkan ahli kumpulan kerja kursus dengan memastikan setiap etnik terdapat dalam sesebuah kumpulan itu.

Walaubagaimanapun, cara tersebut tidak memberikan kesan yang diingini kerana masalah komunikasi dan ketidakselesaan wujud di kalangan etnik. Masalah saling menyalahkan etnik-etnik tertentu akan wujud.
British telah menempatkan kaum-kaum tertentu kepada sektor-sektor ekonomi yang berbeza semasa Tanah Melayu masih dijajah. Misalnya, kaum Melayu telah ditempatkan di sektor pertanian yang berada di luar bandar. Sektor tersebut memerlukan sumber tenaga fizikal dan berteknologi rendah.

Bagi kaum Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan atau perniagaan yang melibatkan teknologi tinggi. Manakala kaum India pula terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Agihan tersebut mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak seimbang.

Kaum Melayu dan India akan berhadapan dengan kemiskinan manakala kaum Cina akan terus mencari peluang-peluang perniagaan bagi mengukuhkan kemewahan mereka.

Perasaan tidak puas hati di antara etnik akan wujud. Justeru, ini akan menyebabkan etnik-etnik berusaha untuk mempertahankan hak-hak mereka serta kesaksamaan. Proses mempertahankan hak tersebut akan merosakkan hubungan kaum kerana masing-masing mahu menjuarai perjuangan mereka.

Kesan-Kesan Akibat Ketidakharmonian Antara Kaum
  Hubungan ketidakharmonian antara kaum akan mengakibatkan negara kita berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Hal ini akan mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan antara kaum. Keadaan yang tidak stabil ini akan membimbangkan para pelabur.

Sekiranya, sesebuah negara mengalami suasana huru-hara, pelabur asing akan terasa bimbang terhadap modal yang dilaburkan juga tentang keselamatan perniagaan mereka di negara ini.
Kemerosotan ekonomi akan melambatkan proses perkembangan dan kemajuan negara kerana kehidupan rakyat yang derita akibat kenaikan harga barang secara mendatar dan kemunduran teknologi kerana tiada sumbangan modal daripada para pelabur di dalam mahupun dari luar negara.

Malahan, taraf hidup penduduk akan menjadi rendah akibat ketiadaan peluang pekerjaan. Oleh hal yang sedemikian, perpaduan di kalangan rakyat menjadi salah satu faktor penting dalam penjanaan ekonomi negara.

Mengancam Keselamatan Negara
  Pertahanan bagi sesebuah negara juga banyak bergantung kepada rakyatnya. Secara langsungnya, hubungan tegang antara rakyat akibat daripada perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara.

Hal ini demikian kerana hubungan yang harmonis di kalangan rakyat secara tidak langsungnya akan mewujudkan sebuah tembok pertahanan yang kukuh dan dapat menjamin keselamatan sesebuah negara.
Negara yang kacau bilau bukan sahaja terdedah kepada ancaman dari dalaman tetapi juga dari luar yang melihat ini sebagai peluang untuk campur tangan sekaligus membuka peluang untuk menguasai negara tersebut sama ada secara halus atau pun terang-terangan.

Menjejaskan Imej Negara
Bagi sebuah negara yang tidak aman, ia akan menjadi tajuk perbualan di peringkat global. Imej negara terjejas dan keadaan ini menjadi buruk apabila kita akan ditolak sama sekali untuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara maju yang lain.

Negara akan menjadi mundur sementara negara-negara yang tidak mengalami pergolakan kaum akan mencapai kejayaan secara berterusan. Tanpa keamanan, negara tersebut sukar untuk melakukan sesuatu yang dapat membanggakan mahupun menarik perhatian negara lain.

Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmonis wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan di peringkat global. Dengan ini, sesebuah negara tersebut bukan sahaja akan disegani oleh negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain.

Hubungan antara negara akan berjaya dianjurkan dan pelbagai peluang kerjasama akan wujud lalu membawa keuntungan ekonomi, sosial mahupun politik.

Langkah-Langkah Bagi Mengatasi Ketidakharmonian Antara Kaum
  Sepanjang sejarah selepas kemerdekaan, isu bagi mewujudkan hubungan harmoni antara kaum telah menjadi isu yang tiada titik noktah. Kerajaan telah mewujudkan pelbagai dasar ke arah pembentukan integrasi nasional.

Antara dasar–dasar dan pelan tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 – 1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991 – 2000, Dasar Wawasan Negara dan juga Program 1 Malaysia.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak semasa berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca tercetusnya perusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya telah diambil. Penggubalan dasar ini bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dengan memperbetulkan ketidakseimbangan sosio – ekonomi antara kaum dan wilayah.

Ia juga diwujudkan untuk mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati dalam masyarakat.
Bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, usaha diteruskan lagi dengan pelancaran dasar pembangunan nasional pada 17 Jun 1991. Dasar tersebut meneruskan pencapaian DEB dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Objektifnya ialah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun negara.
Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau dikenali sebagai Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.
Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.
Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Untuk mencapai kemajuan bagi negara,sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum.

Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah.
Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.

Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.

Media massa merupakan satu saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden.

Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal, 2002: xvii). Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan antara kaum yang menjadi semakin buruk ini.

Media cetak seperti surat khabar, majalah dan buku membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan memaparkan info mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang terdapat di dalam Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa hormat-menghormati antara satu sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap individu.

Di samping itu, media elektronik seperti televisyen, radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu peralatan yang dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah. Media elektronik memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat.

Sebagai contohnya, kempen–kempen yang ingin dijalankan oleh kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan haruslah dibantu oleh media elektronik kerana saluran ini adalah alat yang berkesan dalam penyampaian maklumat pada zaman teknologi yang canggih ini.
Peranan ini membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam kempen berkenaan dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi menanam semangat perpaduan.

Kesimpulan
  Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.
Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Malaysia pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dahulu.






                                               Kejadian yang berlaku jika tiada perpaduan      








                                                Video menunjukkan perpaduan nasional





Tiada ulasan:

Catat Ulasan